Mimpi dalam Tabung
- Sri Munawwarah
- Apr 26, 2015
- 7 min read
Setiap tapak langkahnya menggegarkan lantai rumah kayu lama itu. Hussin masuk ke dalam biliknya lalu menutup pintu perlahan. Beg sekolah yang disandangnya diletakkan di kerusi belajar dengan kemas dan dia terus menghenyakkan punggungnya ke katil. Peluh masih mengalir deras. Penat setelah berbasikal sejauh 3 kilometer dari sekolah di bawah terik mentari masih bersisa. Dia mengesat peluh dengan lengan baju sekolahnya yang semakin kekuning-kuningan. Selesai mengumpul tenaga dia mencapai tuala dan berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri dan mencuci pakaian.
Tepat azan Asar dilaungkan dari masjid yang terletak 300 meter dari rumah peninggalan arwah moyangnya, Hussin siap menyidai pakaiannya yang terakhir. Dia menapak semula ke bilik air untuk mengambil wudhu dan menuju ke biliknya lalu solat dengan penuh khusyuk. Selesai solat dan wirid serta doa, Hussin berbaring di katilnya. Sisa-sisa keletihan dari aktivitinya hari itu cuba dibuangnya. Dia mengambil buku cerita yang dipinjamnya dari perpustakaan sekolah dari bawah bantalnya lalu menyambung bacaannya dari mukasurat yang terakhir dibacanya semalam supaya tidak terlelap. Dia berpegang teguh pada pesan ibu dan datuknya yang melarangnya tidur pada waktu Asar, kerana kononnya jika diamalkan boleh mendatangkan penyakit gila.
Matanya bergerak menghayati satu demi satu perkataan yang masih jelas tertera di atas kertas lusuh buku yang hampir dimakan usia itu. Buku berbahasa Inggeris yang bergenre fantasi itu mengisahkan tentang seorang lelaki yang mengembara ke seluruh dunia menggunakan kelebihan ajaib yang dimilikinya yang membolehkannya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain dalam sekelip mata. Imaginasi Hussin berputar. Dia membayangkan dirinya berada di posisi Max, watak dalam buku itu, mengembara menikmati keindahan ciptaan Allah Ta’ala. Tiba-tiba perutnya berbunyi, merayu minta diisi. Dia meletakkan kembali buku itu ke tempat asalnya dan melangkah menuju ke dapur.
Hussin menyusun paket-paket kecil biskut di atas pinggan lalu menuang air panas ke dalam teko teh yang sudah disediakannya di atas talam bersama dengan 2 biji cawan. Dia menuang sedikit teh ke dalam sebiji lagi cawan yang disediakannya untuk dirinya sendiri dan menambah sesudu kecil gula.
“Assalamu’alaikum!” laung datuknya dari luar. Hussin membalas dari dalam dapur. Tangannya mengambil sekeping roti dari dalam plastik lalu duduk. Roti itu dicicah ke dalam teh yang masih panas tadi, lalu digigit kemas. Datuknya masuk ke dapur, sambil menjinjing kantung berisi beberapa sikat pisang.
Rumah kayu kecil itu hanya dihuni oleh tiga orang. Hussin, datuknya dan ibunya. Neneknya telah dijemput Ilahi lima tahun yang lalu, dan ayahnya tidak pernah pulang sejak meninggalkan rumah itu 10 tahun yang lalu kerana ingin mencari peluang pekerjaan di bandar besar ketika Hussin baru berusia 3 tahun. Tiada siapa tahu apakah nasib ayahnya. Hubungan mereka terputus begitu sahaja setelah surat pertama dan terakhir ayahnya, yang menyatakan dia selamat sampai di ibu kota sampai ke tangan Ibu.
Ibu bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat yang beroperasi di pekan. Hidup mereka cukup sederhana, segala keperluan asas dapat dipenuhi dengan sempurna. Datuknya memiliki sebuah ladang ternak dan kebun kecil yang diwarisi dari moyangnya.Hasil dari ladang dan kebun itulah yang digunakan untuk menyara sebahagian dari kos kehidupan mereka.
“Pisang dari kebun, Datuk?” tanya Hussin sopan ketika melihat Datuk menyusun pisang di atas pinggan besar.
“Ya, tiga pohon pisang sudah masak pisangnya. Tadi dua ekor kerbau pun baru melahirkan.” Datuk duduk dihadapan Hussin lalu mencapai biskut yang sudah dihidangkan oleh Hussin. Hussin menuangkan teh. Dua lelaki dari dua generasi yang berbeza itu terlalu lapar untuk berbicara seperti selalunya. Masing-masing asyik mengunyah makanan. Hampir lima minit barulah Datuk memulakan perbualan dengan Hussin. Bicara antara datuk dan cucu itu berkisar tentang aktiviti mereka seharian dan tentang perkembangan pembelajaran Hussin. Sebagai cucu tunggal Hussin ditatang bagai minyak yang penuh oleh Datuk. Hussin dididik dengan penuh kasih sayang dan telah membesar menjadi seorang remaja yang berakhlak baik dan boleh diharap walaupun tanpa kehadiran seorang ayah.
Hussin meminta izin untuk berlalu dan kemudian masuk ke biliknya. Dalam masa sejam lagi azan Maghrib akan berkumandang. Hussin membersihkan bilik, kemudian mengeluarkan beberapa buah buku dan beberapa keping syiling dari dalam begnya. Buku-buku kerja rumah itu disusun rapi di atas meja dan syiling-syiling dimasukkan ke dalam tabung yang diletakkan di sudut meja. Pandangan Hussin tertumpu kepada tabung yang diperbuat daripada botol minuman itu. Bekas lutsinar itu separuh terisi oleh kepingan duit syiling dan kertas-kertas kecil. Hussin tersenyum. Dia mengambil pen dari dalam begnya lalu mengoyakkan sedikit kertas dari mukasurat terakhir buku latihan yang dikeluarkannya tadi.
Tangannya ligat menulis mengembara ke seluruh dunia sebelum berusia 18 tahun. Dia menghitung. Masih ada lebih kurang tiga tahun lagi sebelum dia mencapai angka 18. Dia membaca kembali tulisan kemasnya di atas kertas kecil itu. Senyum sinis terukir. Tidak mungkin, kaucuma berangan-angan, fikirnya.
Namun dia tetap memasukkan kertas kecil itu ke dalam tabungnya, seperti angan-angannya yang lain. Sikap itu sudah menjadi tabiatnya. Apa saja angan-angan dan cita-cita yang melalui ruang akalnya akan ditulisnya di sekeping kertas kecil dan kemudian disumbat ke dalam tabung lutsinar itu. Dia melihat kepingan-kepingan kertas kecil yang mengintai di sebalik timbunan syiling itu. Dia tersenyum sinis lagi. Dia sendiri lupa apa saja impian yang mustahil yang sudah melepasi mulut tabung itu dan terperam di dalamnya. Mustahil. Dengan keadaan hidupnya itu firasatnya kuat menyatakan yang dia cuma akan terperangkap dalam kepompong hidup yang sederhana, menyambung kerja kampung setelah datuknya pergi buat selama-lamanya nanti.
Dia menyarung jubah putih ke tubuhnya dan kopiah dipakainya kemas. Sedikit wangian dicalit ke leher dan jubahnya. Dia keluar ke ruang tamu dan duduk di kerusi panjang yang menghias ruangan itu. Selang beberapa minit kemudian Yusuf sahabatnya datang, kemas berjubah kelabu dan berkopiah. Yusuf melabuhkan punggungnya di sebelah Hussin. Tirai bicara dibuka. Yusuf mengeluh mengenai kerja rumah Matematik Tambahan yang diberikan oleh guru mereka kerana Yusuf masih belum dapat menangkap topik yang baru mereka belajar beberapa hari yang lalu. “Nanti selesai Isyak kita buat sama-sama, ya?” tanya Yusuf.
“Tiada masalah.” Hussin membalas dengan senyum.
“Assalamu’alaikum Yusuf.” Datuk menyapa dengan Yusuf. Yusuf menjawab salam Datuk ramah. Yusuf dan Hussin bersahabat sejak zaman kanak-kanak lagi. Yusuf menjadi yatim tatkala dia masih pelat bertutur. Kebakaran kilang getah tempat ayahnya bekerja meragut nyawa ayahnya, sekaligus juga meninggalkan ayah Hussin terkontang-kanting mencari pekerjaan yang lain. Seperti Hussin Yusuf dijaga oleh datuk dan ibunya, namun nasib Yusuf lebih malang. Datuknya meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa bulan yang lalu. Mereka berdua merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah. Setiap hari mereka akan ke masjid sebelum maghrib dan pulang selepas Isyak. Hampir setiap malam mereka akan mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja rumah bersama di rumah salah seorang antara mereka yang terletak hanya selang beberapa buah rumah.
“Sudah sedia?” Datuk sudah siap berkopiah, melangkah menuju pintu. Dua pemuda itu terus berdiri dan menurut langkah datuk. Datuk dan Hussin mengeluarkan basikal dari bawah tangga rumah manakala Yusuf menunggu bersama basikalnya. Mereka mula mengayuh keluar dari kawasan rumah, dimulai dari Datuk dan diikuti oleh Hussin dan Yusuf.
***
Hussin, Yusuf dan Datuk menaiki tangga rumah, bercerita rancak mengenai kuliah maghrib yang disampaikan oleh imam. Sejurus membuka pintu yang tertutup, Datuk memberi salam. Namun salam itu disahut suara seorang lelaki yang tidak dikenali. Langkah Datuk terhenti, dan Yusuf dan Hussin yang rancak berbual hampir melanggar tubuh Datuk yang semakin dimamah usia. Di hadapan mereka duduk seorang lelaki berusia 40-an, berpakaian kemas. Lelaki itu seolah-olah menanti kedatangan mereka. Jelas riak serba salah terlukis di wajahnya. Ibu Hussin keluar dari dapur membawa talam berisi teko dan cawan. Di wajah Ibu juga terpancar rasa serba salah.
Lelaki bertubuh sederhana itu berdiri, mengambil dan mencium tangan Datuk, lalu memeluk Datuk. Lelaki itu menangis dan memohon maaf kepada Datuk. Hussin dan Yusuf terpinga-pinga. Datuk masih kelu. Lelaki itu kemudian mengangkat kepalanya dari bahu Datuk. Pandangannya tertumpu kepada Hussin. Hussin masih bingung. Dalam sekelip mata pelukan lelaki itu beralih kepada Hussin. “Maafkan Ayah, Hussin.” Perkataan itu bagaikan petir yang menyambar. Fikiran Hussin terus kosong. Dia terlalu terkejut untuk berfikir, terlalu terkejut untuk bergerak.
***
Fikiran Hussin masih kosong. Agendanya untuk membantu Yusuf membuat kerja rumah malam itu tergendala. Nasib saja mereka masih ada waktu kerana kerja rumah itu mesti dihantar lusa. Masih terngiang-ngiang penjelasan panjang lebar ayahnya semalam. Nasib ayahnya buruk. Selang beberapa hari sampai di bandar Ayah disamun. Ayah terpaksa hidup merempat. Tempat yang terlalu asing bagi Ayah itu membuatkannya buntu. Untuk kembali ke kampung Ayah tidak mampu, lebih-lebih lagi Ayah berjanji kepada Ibu untuk mencari pekerjaan sampai dapat. Tekanan itu membuat Ayah berputus-asa, dan Ayah memutuskan untuk mengemis saja. Beberapa tahun berlalu, Ayah mula sedar yang keputusannya salah. Ayah kembali berusaha. Nasib Ayah baik apabila Ayah membahayakan nyawanya untuk seorang usahawan yang hampir ditembak.
Ayah hampir terkorban, dan usahawan yang terhutang budi itu membantu Ayah untuk memulakan perniagaan setelah mengetahui kisah hidup Ayah. Ayah bangkit menjadi anak didik usahawan tersebut. Namun Ayah tidak mahu kembali ke kampung mahupun kembali mengutus surat, kerana takut Ibu sudah mempunyai pengganti. Ayah kemudian memulakan perniagaannya sendiri dan akhirnya Ayah berjaya meletakkan dirinya di dalam barisan peniaga yang berjaya dalam masa yang singkat. Pertemuan Ayah dengan Ibu hanyalah kebetulan. Sebulan yang lalu syarikat Ayah ingin berkerjasama dengan syarikat tempat Ibu bekerja, Ayah bertemu dengan Ibu setelah bermesyuarat dengan pemilik syarikat tersebut. Ibu yang pada mulanya marah kembali menerima Ayah setelah Ayah membawa semua rakan perniagaannya berjumpa dengan Ibu hanya untuk meyakini Ibu tentang kejadian yang menimpa Ayah. Ibu tidak berani menceritakan perkara tersebut kepada Datuk dan Hussin sehinggalah pada malam itu, apabila Ibu benar-benar bersedia.
Ayah telah kembali ke pekan kerana Ayah sudah menempah sebuah bilik hotel, kebetulan pula kereta Ayah rosak dan tinggal di pekan. Ayah dijemput oleh pemandu syarikat tempat Ibu bekerja. Hussin pula masih terkejut. Siapa sangka, di antara berpuluh kertas yang tinggal di dalam tabungnya, tercatit di atas salah satu daripadanya Bertemu dengan Ayah. Hussin mencuba untuk tidur.
***
Hampir tiga bulan Hussin mengenali ayahnya. Hubungan mereka kembali akrab seperti 12 tahun yang lampau. Ayah memindahkan cawangan utama syarikatnya ke pekan supaya mudah untuknya menguruskan syarikatnya. Ayah juga kembali tinggal bersama mereka setelah masalah pernikahannya dengan ibu selesai di Mahkamah Syariah. “Kamu sedang buat apa, Hussin?” Kepala Ayah menjengah ke dalam bilik Hussin. Hussin mengira duit tabungnya. Kertas-kertas impiannya diasingkan. Ayah duduk bersama Hussin. Hussin kembali khusyuk mengira duit tabungnya, Ayah mencapai kertas-kertas putih yang renyuk itu. “Apa ini?” Ayah bertanya dengan senyum simpul. Hussin yang tidak menyedari yang ayahnya sudah membaca kesemua tulisannya di atas kertas-kertas kecil itu merasa malu. Dengan tersipu-sipu dia menerangkan tabiat uniknya. “Kamu tahu Hussin…” bicara Ayah tergantung.
“Apa dia, Ayah?”
“Ayah mampu untuk membuat mimpi kamu menjadi kenyataan.”
Mereka berpandangan. Senyum lebar terukir di bibir mereka masing-masing. Ada satu pengembaraan yang bakal bermula.

留言