top of page

Dia Sentiasa Ada

  • <3 Cahaya MR
  • Apr 27, 2015
  • 6 min read

“Assalamu’alaikum!” sergah satu suara.

“Aduh!” aku gosok dahi ku yang terhantuk meja. Ini gara-gara perempuan nilah ni. Buat orang terkejut sampai kepala aku terjatuh daripada sandaran tanganku.

“Kau ni kenapa? Tak reti nak bagi…” bagi salam? Bukan dia beri salam ke tadi?

“Tak reti nak apa? Beri salam? Aku dah siap beri salam awal-awal, tapi bukannya nak jawab, aku pulak kena marah,” dengus Dina.

“Wa’alaikumussalam. Aku bukan sengaja nak marah kau. Dah kau kejutkan aku sampai dahi aku ni free-free je cium meja ni. Mana aku tak angin,” marah ku.

“Dah kau termenung sorang-sorang kat sini, buat apa?” Tanya Dina.

“Kau sibuk kenapa? Aku sedang menghayati keindahan alam lah.”

“Yalah tu menghayati,” cebik Dina. “Cantaslah dulu angan kosong kau tu. Dia dah masuk kelas dah pun.”

“Masuk kelas? Dia masuk kelas apa?” soal ku.

“Hish perempuan ni. dah nyanyuk ke apa?” Dina membebel. “Tengok jam kau, dah pukul berapa sekarang?”

“Pukul 9.05 pagi,” jawabku jujur.

Beberapa saat kemudian, aku baru teringat, “Hah! Kita ada kelaslahhh! Habislah kalau Prof dah sampai,” aku mula mengemas barang-barangku sambil merungut. ‘Patutlah sunyi sepi je tempat ni.’

“Itulah kau. Asyik tenggelam je dalam dunia fantasi kau tu,” Dina berkata.

“Aku bukannya berangan..”

“Habis tu? Kau tengah perhati dia kan tadi? Sampai kau lupa yang kita ada kelas,” teka Dina.

“Taklah, mana ada. Kau ni, asyik serkap jarang je.”

“Tapi serkap jarang aku, mengena kan?” Dina menjeling. “Khai, cukup-cukuplah tu. Makin teruk aku tengok kau ni.”

“Hish kau ni, dahlah. Nak masuk kelas dah ni,” aku memutuskan perbualan.

Buka saja pintu, muka dia dulu yang aku nampak. Aku tersenyum. Dina menoleh dan bertanya melalui pandangan mata. Aku hanya mampu mengelengkan kepala dan terus mencari tempat duduk yang kosong.

Nasib kami amat baik pada pagi itu, kerana Prof masuk lewat. Aku memanjatkan syukur. ‘Nasib baik. Kalau tak, free-free je kena marah dengan Prof depan kelas. Tak sanggup aku nak tanggung malu.’

**********

Selepas selesai kelas pada tengahari tu, aku dan Dina bergegas ke kafe Universiti untuk mengisi perut. Kami membeli makanan dan minuman lalu mencari tempat duduk yang kosong. Setelah menjumpai tempat duduk yang berhampiran dengan tingkap kaca yang besar, kami menikmati makan tengahari dengan berselera dan senyap untuk beberapa ketika.

“Lepas ni kau nak pergi mana?” Dina memulakan perbualan.

“Nak pergi library. Exam dalam 2 minggu je lagi. Aku nak buat sebaik mungkin. Memandangkan exam ni adalah exam terakhir sebelum kita graduate.”

Ketika menjawab soalan Dina, mataku melilau ke luar tingkap melihat pelajar lain lalu-lalang. Aku tersenyum bila mataku tertancap pada seorang lelaki yang sedang berjalan dan bergelak ketawa bersama kawan-kawannya. Bila ternampak lelaki ini, bibir ku secara automatic akan mengukir senyuman.

Dina hairan dan bertanya, “Mata kau bersinar-sinar ni, apasal? Kau dapat tengok soalan apa yang akan keluar untuk exam nanti ke?”

Aku hanya tersenyum simpul mendengar pertanyaan Dina. Lawak sungguhlah dia ni. Adakah dia kata aku dapat tengok soalan apa yang akan keluar exam nanti.

Dina tidak puas hati bila soalannya tidak dijawab. Dia menoleh. Bila dia ternampak objek yang sedang aku tenung, dia mengeluh.

“Astaghfirullahalazim. Khai, sudah-sudahlah tenung mamat tu. Tolonglah jaga mata tu. Jaga hati tu. Belum tiba masanya kau hendak melabuhkan hati tu pada yang langsung belum ada hak,” Dina berkata.

“Sandarkan hati tu pada pemiliknya dulu, Khai, kepada penciptanya. Jangan biarkan hati tu dicemari dengan perasaan yang sia-sia,” sambung Dina.

“Macam mana kau tahu perasaan ni tak sia-sia?” aku menoleh dan bertanya padanya.

“Kau tak akan tahu sekarang, tapi suatu hari nanti, kau pasti akan tahu sama ada perasaan tu sia-sia taupun tak. Aku tak nak tengok kau kecewa, Khai. Tak nak tengok kau menyesal. Aku sayangkan kau. Tolonglah Khai. Kikis perasaan tu,” Dina berkata.

“Dina, kita dah lama kenal. Bahkan sebelum masuk sini lagi, kau dan aku macam belangkas. Aku dah lama simpan perasaan ini kawan. Dah hampir 5 tahun dah. Dan kau mesti faham kan apa yang akan aku buat?” aku bertanya lagi.

Dina tersenyum pahit dan berkata dalam hati, ‘ya kawan, aku memang faham, faham sangat dengan apa yang akan kau buat dalam masa sebulan dari sekarang.’

“Okay, kita cut. Sekarang, tolong fokus pada exam dulu ye. Lepas ni kau nak pergi library kan? Aku nak balik kejap lagi,” Dina memutuskan perbualan.

Aku mengangguk. Kami mula berdiri untuk meninggalkan kafe dan mengambil haluan masing-masing. Aku berhenti dan menoleh.

“Dina,”

“Yeah?” sahutnya.

“Aku sayangkan dia. Aku harap perasaan aku ni tak sia-sia. Kau doakan ye,” kataku sebelum berlalu.

‘Aku juga harap begitu, kawan.’

**********

Sebulan berlalu.

“Macam mana exam? Boleh dapat 4 flats?” Dina bertanya sejurus kami keluar daripada dewan peperiksaan.

Aku tersenyum, “In shaa Allah.”

“Kau dah ready?” Dina bertanya lagi. Tak perlu untuk ditanya panjang-panjang. Tuan punya badan pasti faham.

“In shaa Allah. Tapi aku tak nampak dialah lepas kita keluar tadi. Dia pergi mana eh?” aku bertanya.

“Eh? Bukan kau dah bagitahu dia ke yang kau nak jumpa dia lepas habis exam ni?” Dina mengutarakan soalan lagi.

“Dah. Awal-awal lagi aku dah bagitahu dia. Hah, itu pun dia. Jom pergi sana,” aku menarik tangan Dina.

“Ammar,” Orang yang dipanggil menoleh dan tersenyum.

“Hah ini pun dia. Jom pergi sana. Kita cakap kat sana,” Ammar berkata.

Setelah berada di tempat yang dimaksudkan, Ammar bertanya, “Apa dia yang kau nak cakap tu?”

“Aku nak bagitahu sesuatu ni. Sebenarnya…”

“Eh kejap! Sebelum kau teruskan, aku nak bagi kau something ni. Untuk Dina pun ada sekali,” Ammar memotong percakapan ku.

“Apa dia?”

Ammar mengeluarkan sesuatu dari beg sandangnya. Dua keping sampul surat. Dia bagi aku sekeping dan Dina sekeping.

“Apa ni?” aku bertanya.

“Kad jemputan. Kau bukalah dulu,” Ammar menjawab.

Kad jemputan? Tangan ku mula menggeletar. Aku teruskan membuka dan… aku terkejut! Aku pasti Dina pun terkejut.

Majlis Pernikahan diantara Mohammad Ammar…

“Kau dah nak nikah? Bila masa kau bertunang? Kenapa kitorang tak pernah tahu yang kau dah bertunang?” Dina menembak Ammar dengan pertanyaan.

Ammar tersengih, “Aku dah lama bertunang. Majlis rasminya 6 bulan lepas. Sorry, aku tak jemput korang. Majlis tu untuk family je.”

“Oh, yeke? Tahniah!” Tanya Dina.

“Ya. Terima kasih! J Hah Khairina, kau nak cakap apa tadi?” Ammar menoleh kearahku.

“Err, aku dah lupalah nak cakap apa. Sorry,” aku menuturkan maaf.

“Betul ni? Tak sangka, umur baru 24 tahun, tapi dah ada penyakit lupa,” Ammar menyakat.

Aku hanya tersenyum, “Betul. Anyway, tahniah! Semoga semuanya berjalan dengan lancar.”

“Terima kasih! Kalau macam tu, aku pergi dululah. Jangan lupa datang tau ke majlis aku nanti,” Ammar berkata sambil berlalu pergi.

“Hmm in shaa Allah,” hanya itu yang mampu aku katakan sambil menyaksikan Ammar pergi meninggalkan aku tanpa sempat aku memberitahu perasaan ku terhadapnya. Perasaan yang aku rasa tidak sia-sia, tapi rupanya selama ini aku hanya mempunyai perasaan yang sudah terang lagi bersuluh, perasaan yang sia-sia. Kecewa? Memang itu yang aku rasa. Tapi nasib baiklah aku tak sempat beritahu dia, kalau tak, pasti aku akan lebih kecewa menerima hakikat yang dia sudah bertunang dan sudah nak bernikah.

Aku terasa tanganku digenggam. Aku menoleh dan nampak Dina sedang mengenggam tanganku, memberi sokongan dan semangat. Aku tersenyum dengan mata dipenuhi kolam airmata.

Dina berkata, “Mata kau…. Aku dah tak nampak sinarnya..” Aku tersengih mendengar kata-kata Dina.

“Khai, lepaslah. Jangan pendam kekecewaan kau tu. Jangan tahan airmata kau tu. Biarkan dia mengalir, kawan. Aku tak sanggup nak tengok hati kau terluka parah. Lepaslah, mungkin lepas ni kau akan kuat.” Aku menangis mendengar pujukan Dina. Dia terus memelukku.

Dina memang selalu ada di saat aku susah dan senang. Dia selalu ada untuk memberi aku semangat dan sokongan. Aku bernasib baik kerana kawan aku ni tak pernah meninggalkan aku bila mana aku tidak mendengar nasihatnya untuk tidak terlalu berharap pada sesuatu yang sia-sia.

Hampir 5 tahun, dia tak pernah berhenti menasihati aku perkara yang sama, berulang-ulang, ‘jangan terlalu berharap pada sesuatu yang tak pasti, kawan. Bergantung haraplah pada yang kekal.’ Dan aku dengan cliché nya akan menjawab, ‘aku harap ini tidak sia-sia. Kau tolong doakan aku ya.’

“Terima kasih Dina. Terima kasih untuk sentiasa ada untuk aku. Terima kasih kerana tak pernah penat menasihati aku perkara yang sama berulang-kali. Terima kasih untuk segalanya.”

“Khai, berterima kasihlah dan bersyukurlah padaNya. Allah lah yang menjentik hati aku untuk sentiasa berada disisi kau. Dia yang menggerakkan hati aku untuk sentiasa menasihati kau walaupun kau tak pernah nak ambil kisah nasihat tu. Semua ini adalah takdir Allah, kawan. Dia nak dengar rintihan kau, pengaduan kau. Kau mengadulah padaNya. Dia sentiasa ada untuk kau. Akan sentiasa ada.” Aku semakin menangis mendengar kata-kata Dina.

“Ya, Dia yang sentiasa ada untuk aku. Akan sentiasa ada.”

Moral: Jangan terlalu berharap pada sesuatu yang tidak pasti. Bergantung haraplah pada Allah. Tidak rugi mengenal dan mencintai Allah sebelum melabuhkan hati pada yang halal. Jika sesuatu tu tidak berjalan seperti yang kita harapkan, terimalah ketentuan Allah dengan sabar dan redha. In shaa Allah buahnya manis. Dan yang amat penting sekali, Allah sentiasa ada untuk kamu!J

Tamat.

ingatAllah.jpg

 
 
 

Comments


Featured Review
Tag Cloud
  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Google+ B&W
bottom of page