Hidup Umpama Roda
- Dhia Faaezah
- May 6, 2015
- 3 min read
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang

Hidup umpama putaran roda. Sekejap di atas, sekejap kita di bawah. Kalau pagi tadi kita menangis, sebelah malam kita boleh ketawa dan senyum kembali atau sebaliknya. Seperti siang dan malam yang saling hadir bersilih ganti.
‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.’ (Surah Al-Ankabut 2-3)
Allah uji kita dengan dua jenis ujian iaitu berupa kesenangan dan sesuatu yang kita kurang suka/benci. Kalau kita teliti sejarah generasi terdahulu atau sekarang, banyak yang binasa dengan kemewahan dunia seperti Firaun, Qarun dan sebagainya. Hakikatnya memiliki harta yang melimpah -ruah berjuta-juta atau banyak anak keturunan bukanlah penentu kepada kebahagiaan.
Apabila kita ditimpa musibah berbentuk duka, kesedihan dan kesusahan adalah disebabkan oleh kekhilafan kita sendiri sepertimana Allah berfirman dalam Surah Asyuura ayat 30:
“Dan apa jua yang menimpa kamu daripada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (akibat perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa), dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dosa-dosa kamu.”
Selain itu juga, yakinlah bahawa setiap ujian yang Allah timpakan adalah sesuai dengan kemampuan yang dalam upaya mampu dipikul setiap hambaNya.
Kadangkala Allah memberi ujian kerana Dia rindu untuk mendengar rintihan dan pengaduan kita kepadaNya. Allah Maha Berkuasa, bahkan sebenarnya kitalah yang memerlukan pertolongan,izin,limpah kurnia dan redha Allah dalam setiap perkara.
Seorang bijak pandai ada berkata, hadirnya ujian pada orang beriman, akan membuatkan dirinya semakin mendekat pada Allah Pencipta manusia dan segala makhluk. Jadi, adakah setiap ujian itu membuatkan kita semakin dekat kepada Dia atau sebaliknya? Tepuk dada, muhasabah diri. Sepertimana saat kereta rosak, kita akan merujuk kepada mekanik kereta, seharusnya saat diri kita bermasalah kita perlu merujuk kepada Pencipta diri kita manusia dan Pencipta hati di samping terus berusaha. Allah lah yang berkuasa untuk menyembuhkan, memberi kekuatan dan melancarkan urusan-urusan hambaNya.
Ya Allah ArRahman arRahim, berilah kami kekuatan untuk meneruskan berjuang dan menghadapi cabaran dan ranjau kehidupan di dunia yang fana ini.
Ya Khaliq, sungguh ujian yang perlu dilalui terasa berat dan sulit. Aku rapuh dan lemah untuk terus bangkit meneruskan perjuangan. Pandangan terasa kelam dan berkabus. Ku pohon bantuanMu dan berikan daku kekuatan dan ketabahan untuk terus menempuh ujianMu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan sebaik-baik Penolong. Hanya kepadaMu kami bergantung harap...
Wahai Tuhan kami, kami bermohon kepadaMu, berilah hidayah dan petunjukMu kepada kami, agar kami terus melangkah di jalan yang Engkau redhai dan di jalan yang lurus, jalan yang dilalui para rasul dan orang-orang yang Kau redhai...Sungguh, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin dan bantuan dariMu Ya Qawiy Ya Jabbar, Ya Malikul Mulk.
Amin, amin ya Rabbal 'Alamien...
Wahai diri, ingatlah bahawa hanya Allah yang kekal. Setiap nyawa dan perkara di dunia ini, tidak ada yang kekal. Setiap yang ada permulaan, akan ada penghujung. Begitu juga dengan ujian juga ada tarikh luputnya. Percaya dan yakinlah.
Mungkin sahaja ujian yang ada sekarang untuk menyedarkan diri. Bahawa dunia ini hanyalah sekadar persinggahan, untuk membanyakkan bekalan untuk kehidupan akhirat yang abadi. Harapan pada hal keduniaan memang akan selalu mengecewakan dan melukakan hati.
Kerana syurga itu mahal harganya. Ujian demi ujian yang ada adalah untuk menaikkan darjat kita di sisi Allah. Apabila kita semakin dekat dengan Allah, akan semakin berat ujian yang perlu ditempuhi sepertimana Kekasih Allah, Baginda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang banyak menempuhi ujian yang sulit dan berat sewaktu menyebarkan islam.
Allah...Allah...Allah...
‘Hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang’ (Surah Ar-Ra’d:28)
“Ketika hatimu terlalu berharap kepada seseorang maka Allah timpakan padamu pedihnya sebuah pengharapan, agar kamu mengetahui bahawa Allah sangat mencemburui hati yang berharap selainNya. Maka Allah menghalangimu dari perkara tersebut agar kamu kembali berharap kepadaNya (Imam AsSyafi’e).
댓글