top of page

Taubat

  • Siti Nurdahlia Dollah
  • May 9, 2015
  • 4 min read

tumblr_lg0khaUh751qd4qfxo1_400.jpg

(Taubat nasuha: taubat yang sebenar-benarnya) Setiap daripada kita, pasti ada yang pernah terfikir dengan maksud taubat. Ada yang menyangka taubat yang dilakukan cukuplah hanya sekali sebab lepas ini kita tidak akan buat dosa lagi, tidak akan buat sebarang masalah, kesilapan mahupun kesalahan. Manusia seperti kita ini pasti akan melakukan kesilapan tanpa kita sedar ataupun separuh sedar (sedar tapi buat-buat tidak sedar) kerana manusia ini tidak sempurna termasuk juga dengan diri saya sendiri.

Kali pertama saya menonton satu video di facebook dari cocombee yang bertajuk ‘Air mata yang memadamkan lautan jahannam’ yang disampaikan oleh Ustaz Iqbal. Entah kenapa tiba-tiba perasaan saya tersentap seketika disaat doa yang dibacakan oleh Ustaz Iqbal, yang berbunyi…

“Ya Allah, aku telah berdosa… Ya Allah, aku telah bermaksiat kepadaMu ya Allah… Dan, bagaimana nasib aku di akhirat nanti ya Allah? Dan, bagaimana nanti berhadapan denganMu ya Allah? Ya Allah, bagaimana aku nak berdepan dengan kekasihMu Rasulullah SAW dalam keadaan umat yg berdosa ini ya Allah?”

Secara automatiknya, secara tiba-tiba bulu roma saya meremang dan mengeluarkan airmata. Doa yang dibacakan sahaja sudah membuatkan saya terfikir dengan bagaimana nasib saya yang penuh dengan dosa? Bagaimana nasib keluarga saya? Saudara-mara saya? Sahabat handai saya? Perasaan itu bercampur-baur dan seakan-akan saya ingin beruzlah (mengasingkan diri) dari sekeliling saya yang penuh dengan godaan dan cobaan. Namun, saya tidak boleh dari semua itu walaupun beruzlah adalah satu jalan yang terbaik buat saya selama ini, untuk saya memperbaiki lagi segala diri saya yang serba kekurangan ini, yang masih merangkak-rangkak belajar ilmu agama.

Astaghfirullahal’adzim… Astaghfirullahal’adzim… Astaghfirullahal’adzim…

Mulut saya berkumat-kamit dengan istighfar waktu itu.

Saya terus menonton dan menulangi video tersebut banyak kali…. Saya tergamam satu ayat yang disampaikan oleh Ustaz Iqbal, “Yg sentiasa menangisi dirinya.” Saya pause kan video tersebut. Tertanya-tanya apa yang dimaksudkan dengan ayat tersebut? Oh ya!

Saya baru faham, manusia yang suka menangis dan sedih terhadap masalah dan bebanan yang mereka hadapi. Bukan begitu?

Saya play semula…

“Allah Swt suka tengok hambaNya yang menangis kerana dosa-dosanya, berasa rendah diri di hadapan Allah Swt di atas maksiat yg mana dia tersungkur.

Satu titis airmata yg digugurkan di atas dunia ini kerana takut kepada Allah Swt, akan memadamkan selautan api neraka jahannam.

Satu titis mampu padamkan selautan jahannam tetapi lautan tangisan di akhirat nanti, di neraka nanti tidak akan memadamkan walaupun satu titis daripada api neraka jahannam.”

Ini rupanya yang dimaksudkan oleh beliau, saya menyangka selama ini manusia akan menangis dan bersedih dengan masalah dan bebanan yang mereka hadapi namun ternyata tafsiran saya salah. Ouch! Terasa kena cubit hati saya.

Saya tertunduk dan terdiam. Memang betul-betul terkesan di hati saya. Beruntunglah mereka yang menangisi dirinya kerana takut kepada Allah, takut untuk melakukan dosa, takut untuk mengulangi perkara yang sebelumnya, takut kerana dosa-dosanya yang lalu dan seumpamanya. Masya Allah, waktu itu juga saya panjatkan doa kepada Ya Rabb…

“Ya Allah, moga aku termasuk golongan orang-orang yang menangisi dirinya kerana takut kepada Allah. Amin amin amin ya Allah. Sesungguhnya aku terlalu banyak buat dosa kepadaMu ya Allah. Moga Engkau mengampuni segala dosa-dosaku di masa lalu dan pada masa kini tanpa aku sedari mahupun tidak. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. Amin amin amin ya Allah…” saya tidak berhenti mengusap airmata yang sentiasa mengalir di pipi saat itu.

“Semoga Allah Swt melembutkan hati kita untuk kita menangis di hadapan Allah Swt untuk kita merintih di hadapanNya kerana orang yang tidak menangis di hadapan Allah, yang tidak dapat mengeluarkan airmatanya kerana dosa yang dilakukan olehnya adalah tanda kekerasan di hatinya.”

Pesan beliau lagi di atas ayat tersebut. Allahu ya Rabbi. Saya berharap sesiapa saja Allah berikan kelembutan hati untuk kita sentiasa bermuhasabah diri, sentiasa memperbaiki diri dan sentiasa merendahkan diri kemana saja kita berada kerana asalnya kita hanya sebagai hamba Allah yang kerdil (kecil) lagi dhaif (lemah).

“Para Ulama’ pernah mengatakan, “bahawa taubat yang dilakukan kerana berdosa itu cukup dengan sekali tetapi taubat yang dilakukan kerana ketaatan kepada Allah maka kena perlukan seribu kali taubat.

Maka seseorang yang walaupun telah banyak ibadahnya kepada Allah, banyak solatnya dan banyak zikirnya sebenarnya dia lebih banyak perlu taubat kepada Allah Swt, takut-takut dalam ibadahnya ada terselit sifat riya’, takkabur, sifat ujub dan sebagainya.”

Sebab itu ulama’ mengatakan, “Taubat untuk maksiat cukup dengan sekali, tetapi taubat untuk ketaatan perlukan beribu-ribu kali.”

Dan, akhirnya saya baru mengerti makna taubat kerana maksiat atau dosa yang dilakukan bagi mereka cukup hanya dilakukan dengan sekali tetapi taubat yang dilakukan kerana ketaatan kepada Allah Swt perlukan beribu-ribu kali. Saya teringat tentang kisah Rasulullah Saw, Baginda Saw seorang yang ma’sum, yang tidak pernah mempunyai dosa. Walaupun tidak mempunyai dosa, namun Allah masih memberikan ujian yang hebat buat dirinya apatah lagi dengan kita yang sekarang? Melakukan dosa begitu banyak, ujian pula Allah uji dengan ujian yang tidak sehebat seperti Rasulullah Saw. Baginda Saw sungguhpun masih menganggap dirinya insan yang berdosa (walaupun hakikatnya Baginda Saw tidak berdosa) masih juga melakukan taubat dengan banyak kali, bangun tengah malam melakukan solat sunat taubat dan sentiasa berdoa memohon keampunan dari Allah Swt, seorang yang suka menangisi dirinya kerana takut kepada Allah Swt, kerana takut akan dosa-dosanya. Masya Allah. Bagaimana pula dengan kita? Apakah kita boleh merubah hidup kita mulai sekarang? Menjadi insan yang sentiasa bertaubat kerana ketaatan pada Allah, yang sentiasa menangis dan sedih akan dosa-dosanya, yang sentiasa takut kepada Allah. Mudah-mudahan setiap airmata yang jatuh ke bumi kerana menangis kerana Allah menjadi bukti di akhirat kelak, amin ya Rabb. Dan, semoga Allah Swt mengampuni segala dosa-dosa kita, amin ya Rabb…

 
 
 

Comments


Featured Review
Tag Cloud
  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Google+ B&W
bottom of page