Pupuk Minat Membaca dalam Diri
- Dhia Faaezah
- May 13, 2015
- 2 min read
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang…
Assalamu’alaikum warahmatullah wbt…
Tema di minggu terakhir projek iReadiWrite adalah Reading Awareness. Sejak awal melihat tema bagi minggu ini, mata dikerdipkan berkali-kali sambil minda cuba untuk merangka apa yang bakal dikongsikan. Jauh dalam diri terasa tidak layak untuk mengulas tentang isu ini tapi kalau nak tunggu diri sempurna dari kekurangan pun memang sampai ke sudah tiada hasil. Manusia memang tidak lari dari kesilapan dan kekurangan namun itu tidak boleh dijadikan alasan.
Ehem…
Kembali kepada tajuk.,membaca. Alhamdulillah kita di Brunei ini bertuah kerana boleh dikatakan majoriti hampir semua penduduknya tahu membaca dan menulis. Pendidikan begitu diutamakan dan dititikberatkan bagi mencapai salah satu hasrat Wawasan Negara 2035 untuk memiliki para belia yang intelektual, berpendidikan, berkemahiran tinggi dan kompetitif.
Menurut statistik yang dilakukan pada tahun 1996, Malaysia adalah masyarakat yang paling sedikit membaca berbanding masyarakat Jepun, Eropah dan Arab iaitu dengan 2 buah buku setahun berbanding yang lain masing-masing 40, 10 dan masyarakat Arab dengan 20 helaian buku setahun. (Secara tidak langsung, masyarakat Malaysia itu mewakili kita bangsa melayu). Kajian yang sama dilakukan kembali pada tahun 2005 dan keputusannya masih sama 2 buah buku setahun. (Sumber: The Star, 16 Julai 2006)
Kita semua tahu dan selalu mendengar, membaca adalah jambatan ilmu, membaca adalah sumber pengetahuan. Namun ramai yang beralasan tidak mempunyai masa untuk membaca bahan berbentuk ilmiah dan fikrah disebabkan oleh tuntutan kerja, belajar dan hal-hal lain. Andai kita mempunyai masa untuk menonton drama, siaran program televisyen, saling berbalas pesanan dengan rakan di laman sosial dan sebagainya, bagaimana kita tiada masa pula untuk membaca? Sebenarnya kita boleh meluangkan masa membaca sebentar seperti sewaktu berada dalam kereta, menunggu dijemput pulang dari sekolah, menanti giliran berurusan dengan bank ataupun perjanjian klinik dan sebagainya.
Jadi mulai sekarang, ayuh para pemuda-pemudi bakal penghuni syurga sekalian, marilah kita cuba mendidik diri kita bersama untuk meluangkan masa membaca al-quran dan bahan ilmiah yang lain. Setidaknya, tetapkan masa khas untuk membaca selama 15-30 minit, satu bab atau satu lembar setiap hari. Tidak salah untuk membaca bahan bacaan ringan seperti artikel majalah, fiksyen dan novel namun sebaiknya kita bijak memilih bahan bacaan yang bermanfaat. Ini adalah penting kerana apa yang kita baca mencorakkan pemikiran kita. Zaman sekarang mudah untuk memiliki dan membeli buku pelbagai tema di kedai-kedai atau pembelian secara dalam talian(online).Tambahan pula di perpustakaan, ada banyak buku-buku dan kitab-kitab ulama untuk kita baca dan cerna isi kandungan ilmu yang ada. Dengan banyak membaca, diri sendiri yang untung dan bertambah pengetahuan.
Comments